MOSCOW – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe memberi kelegaan kepada penyokong pasukan itu apabila menegaskan akan terus kekal di Parc des Princes musim depan.
Khidmat Mbappe kerap diburu pasukan-pasukan ternama Eropah termasuk Real Madrid dan Barcelona dengan ‘sahamnya’ te-rus meningkat apabila membantu Perancis memenangi Piala Dunia serta dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik.
Pemain berusia 19 tahun itu juga turut mencetak nama selaku penjaring pada perlawanan akhir Piala Dunia yang menyaksikan Perancis menang 4-2 menewaskan Croatia.
Kata Mbappe, dia akan meneruskan perkembangannya bersama PSG selain mengakui dia masih berada pada awal karier selepas menyertai pasukan tersebut secara pinjaman musim lalu.
“Saya akan terus bersama PSG kerana saya dapat lihat perjalanan karier saya di situ. Saya hanya ber- usia 19 tahun, jadi masih banyak perkara yang perlu saya belajar untuk menjadi pemain terbaik. Saya enggan mendabik dada.
“Saya juga berpendapat bahawa ini adalah permulaan sebenar karier bola sepak saya. Perjalanan masih jauh dan sukar, oleh itu saya rasa PSG adalah tempat sesuai untuk mengembangkan potensi sebenar,” ujar Mbappe.
Bekas penyerang AS Monaco itu mengharungi musim yang cukup hebat bersama PSG apabila berjaya meledak 21 gol dalam semua kejohanan musim lalu. – Agensi










