‘Saya buntu nak beri ulasan’ - Utusan Malaysia

‘Saya buntu nak beri ulasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui bingung untuk memberikan penjelasan selepas diminta komen berhubung tindakan tuan rumah Sukan Asia Indonesia 2018 yang akan me­lakukan undian semula acara bola sepak hari ini.

Ini kerana beliau sendiri tidak dimaklumkan pengumuman undian semula acara itu sama ada daripada tuan rumah kejohanan, Indonesia, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Awal bulan ini, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menya­takan pendirian untuk terlibat dalam acara bola sepak biarpun nama mereka bersama Palestin ‘tercicir’ ketika majlis undian peringkat kumpulan di Jakarta.

Spekulasi undian semula tercetus selepas pihak media Malaysia menerima e-mel daripada AFC yang mahu mengadakan majlis undian acara bola sepak di Rumah AFC, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai kesahihan majlis undian acara bola sepak dibuat semula, Kim Swee mendedahkan, beliau tidak boleh beri penjelasan yang baik sebagaimana tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak bagi perihal tersebut.

“Saya tidak tahu bagaimana nak komen. Saya tidak pasti adakah (majlis undian semula) benar atau tidak.

“Ini kerana di pihak kami tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak termasuk Indonesia selaku tuan rumah kejohanan, AFC atau MOM,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Melaka itu berharap pihak tertentu harus mengambil tindakan drastik dengan memastikan acara bola sepak Sukan Asia berjalan de­ngan telus serta licin.

“Jika benar ada undian semu­la, mereka (Indonesia) harus melakukan dengan cepat. Saya percaya bahawa negara-negara lain termasuk Malaysia mahu undian semula ini dibuat se­cepat mungkin.

“Ini kerana kebanyakan negara telah merancang persiapan untuk Sukan Asia. Perancangan mereka akan terganggu jika majlis undian dilambatkan memandang masing-masing ma­hu fokus dengan persiapan.

“Saya mengambil contoh. Kita sebelum ini sudah bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan dengan China tetapi bagaimana undian semula nanti menyaksikan kita diundi bersama dengan China?

“Tidakkah itu akan mengganggu persiapan setiap pasukan? Jadi, saya percaya semua negara yang terlibat dalam Sukan Asia akan menuntut perkara sama seperti Malaysia dan saya berharap perkara ini diselesaikan segera sebelum timbul ­isu-isu berbangkit,” ujarnya.

Skuad kendalian Kim Swee sebelum ini diundi bersama juara bertahan, Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan dalam Kumpulan E.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN