HAMPIR setahun selepas penyertaannya dalam program realiti AF Megastar, penyanyi yang dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Erra Fazira, Shahir dilihat terus menyepikan diri. Sejak keluar daripada program itu, penyanyi berusia 30 tahun tersebut dikatakan seolah-olah kembali ‘menyembunyikan’ diri daripada industri hiburan tanah air.
Bagaimanapun, pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu memberitahu, dia bukan sengaja berbuat demikian. Sebaliknya, ada alasan tertentu yang membuatkan industri melihat dirinya seperti hilang semula daripada radar seni.
“Saya bukan sengaja senyap, tetapi ada sebab-sebab tertentu berkenaan karier yang menyebabkan saya bertindak sedemikian.
“Bagaimanapun, saya kira ini adalah pendekatan paling lembut yang boleh saya lakukan. Bukan berdiam diri, cuma saya merasakan perlu masa dan waktu yang bersesuaian. Kalau ikut kepentingan diri sendiri, akan ada insan yang berkecil hati,” jelas Shahir yang dilihat cukup berlapik dan berhati-hati menuturkan bicaranya.
Sebolehnya, menurut Shahir dia enggan membuka mulut mengenai hal tersebut. Ini kerana dia tidak mahu ada pihak yang salah faham dengan kenyataan yang diberikannya nanti.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih kerana bimbang ia akan menyinggung perasaan pihak-pihak lain. Saya tidak mahu sentuh nama sesiapa. Buat masa ini, biarlah saya melihat mana-mana ruang yang ada untuk saya. Apabila kita nak menjaga hati banyak pihak, beginilah jadinya, adakalanya saya sendiri rasa serba salah,” ujar juara Akademi Fantasia musim kelapan itu.
Sungguhpun begitu bagi Shahir sendiri antara sebab lain dia mengambil pendekatan ‘berdiam’ kerana masih lagi dalam proses menyelesaikan pembikinan single baharunya yang dipersembahkan di pentas AF Megastar tahun lalu.
“Sebenarnya, lagu berjudul Mama itu belum selesai dan belum lengkap sepenuhnya. Apa yang dipersembahkan semasa final tempoh hari itu dihasilkan dalam tempoh masa yang suntuk.
“Jadi, saya terpaksa gunakan apa yang ada pada masa itu. Justeru, kini saya ada merancang untuk keluar dengan susunan muzik yang baharu, Insya-Allah,” kongsi pemilik nama sebenar Ahmad Shahir Zawawi itu.
Menurut Shahir, walaupun dia tidak terlibat dengan aktiviti seni, dia sebenarnya masih sibuk menguruskan bisnes yang dijalankannya sendiri.
“Saya ada sahaja di Kuala Lumpur. Walaupun tidak ada terlibat dengan aktiviti seni, saya buatlah cabang-cabang rezeki yang ada,” kongsi anak kelahiran Ipoh, Perak itu.
Ditanya mengenai perhubungannya dengan Erra, menurut Shahir, dia kini sedang dalam perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, buat masa ini, katanya, tiada sebarang maklumat terperinci yang boleh dikongsikan.
“Perancangan itu memang ada. Insya-Allah, sampai masa nanti saya umumkan,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui sewaktu majlis Durian Raya 3.0 anjuran Teh Tarik Place di Setapak Central, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercakap mengenai program Durian Raya 3.0 itu, menurut Shahir, secara tidak langsung, ia merupakan satu platform yang dapat mengeratkan hubungan antara artis dan peminat. Katanya, lebih 800 biji durian daripada pelbagai jenis dihidangkan kepada tetamu yang hadir.
“Selain menikmati durian, pengunjung juga dapat menghiburkan diri menerusi persembahan yang turut diadakan bersama Tomok dan Black,” katanya.










