PUTRAJAYA 30 Julai – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih mahu merahsiakan sasaran pingat emas kontinjen negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 sehingga majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen dijadualkan pada 10 Ogos ini.
Beliau berkata, majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Jabatan Perdana Menteri.
“Saya selalu ditanya mengenai perkara ini… Sabar… Tunggu. Kita akan buat majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara secara rasmi pada 10 Ogos di JPM. Saya rasa di situ adalah forum yang sesuai untuk menyatakan hal itu (sasaran pingat),” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Malaysia dijangka menghantar lebih 400 atlet, iaitu kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan Malaysia di sukan kedua terbesar dunia itu. Sukan Asia 2018 akan berlangsung daripada 18 Ogos hingga 2 Sept.
Untuk rekod, kontinjen terbesar Malaysia ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China ialah seramai 325 atlet.
Malaysia ketika itu meraih keputusan terbaik dalam sejarah dengan sembilan pingat emas, 18 perak dan 14 gangsa dan berharap mengatasi pencapaian itu di Indonesia.
Pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, konitnjen negara berjaya meraih lima pingat emas, 14 perak dan 14 gangsa. – BERNAMA










