KUALA TERENGGANU 15 Julai – Jumlah penderma darah tetap di negara ini masih tidak setara dengan negara-negara maju dengan hanya 2.2 peratus daripada kalangan rakyat berbuat demikian walaupun ia suatu amalan yang murni di sisi agama.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, sehubungan itu tahap kesedaran tentang menderma bagi membantu golongan dalam saat amat memerlukan akan diperhebatkan melalui pelbagai program dan pendekatan.
“Pihak kementerian menyasarkan peratusan penderma daripada pelbagai kaum dapat ditingkatkan kepada tiga peratus dalam tempoh lama lima tahun akan datang berbanding hanya 2.2 peratus kini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis malam penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan, di sini di Wisma Darul Iman di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Yahaya Ali; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar.
Katanya, statistik kementerian menunjukkan jumlah pendermaan darah di seluruh negara pada tahun lepas ialah sebanyak 694,473 beg darah dan daripada jumlah itu 228,145 beg darah adalah daripada penderma baharu.
“Jumlah itu termasuk golongan muda yang menderma sebanyak 139,070 beg darah sepanjang tahun lalu, dan berharap mereka akan menjadi penderma tetap,” katanya.
Beliau menarik perhatiannya, pendekatan yang diambil oleh Terengganu boleh menjadi contoh dengan mengadakan siri jelajah kempen menderma darah dengan mendekati masyarakat termasuk di masjid-masjid dan di kawasan pendalaman.
“Program pendidikan kesihatan dan penerangan perlu dipertingkatkan dan saya yakin sasaran itu akan dicapai kurang dari lima tahun lagi, khususnya peningkatan di Terengganu ini,” katanya.
Sementara itu dalam majlis tersebut beberapa kalangan penderma turut menerima sijil penghargaan termasuk Mohd. Zamzuri Ariffin, 46, untuk melakukan amalan itu
secara konsisten sejak 10 tahun lalu.
Berasal dari Batu Burok dekat sini, Mohd Zamzuri yang cacat penglihatan menderma darah pada setiap kali bulan Ramadan melalui kempen bergerak anjurkan Jabatan Kesihatan negeri di masjid berdekatan rumahnya.
“Inilah cara mudah bagi saya untuk menolong orang lain kerana dari segi kewangan saya tidak begitu berkemampuan,” katanya selepas menerima penghargaan khas yang disampaikan oleh Dr. Dzulkefly. – UTUSAN ONLINE










