KUCHING 16 Julai – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM12.5 juta untuk mempromosikan produk pelancongan di negeri ini menggunakan teknologi digital dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha meningkatkan promosi pelancongan menggunakan teknologi digital adalah selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahu mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah negeri digital pada masa depan.
Katanya, penggunaan teknologi digital mampu meningkatkan daya saing pelancongan Sarawak di peringkat global.
“Bagi tujuan ini, pihak kementerian telah memulakan inisiatif mewujudkan portal sesawang dengan kandungan interaktif termasuk membangunkan teknologi Realiti dan Virtual Realiti di kawasan tumpuan pelancong seperti warisan Kuching lama.
“Kaedah ini amat sesuai dengan sasaran untuk mengadakan Kempen Melawat Sarawak pada akhir tahun ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Bagi Penggal Ke-18 di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu, Sarawak menerima kehadiran 4.85 juta pelawat yang berbelanja sekitar RM 8.59 bilion pada tahun lalu.
Beliau berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan lima negara menyumbang kepada ketibaan pelawat tertinggi iaitu Brunei (1.73 juta), Indonesia (513,442), Filipina (68,380), Singapura (42,177) dan China (38,204)
Sejak Januari hingga Mei lalu, katanya, jumlah ketibaan pelancong adalah sekitar 1,750,640 orang, dengan angka kenaikan positif pelancong dari China dan Singapura.
“Seramai 19,641 pelancong China telah menjejakkan kaki ke Sarawak dalam tempoh Januari hingga Mei 2018 iaitu kenaikan menggalakkan sebanyak 20.22 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Jumlah peningkatan menggalakkan itu disebabkan adanya penerbangan langsung Kuching-Shenzhen bermula pada Disember tahun lalu”, ujarnya. – UTUSAN ONLINE










