KANGAR 25 Julai – Berikutan tahap kesedaran membayar bil air yang masih rendah dalam kalangan rakyat negeri ini, kerajaan negeri merancang untuk memasukkan tentang kepentingan membayar hutang dalam teks khutbah Jumaat di masjid-masjid pada masa depan.
Pengerusi Kemudahan dan Prasarana Awam negeri, Hamizan Hassan berkata, pihaknya akan bekerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan itu.
Kata beliau, setakat ini, Syarikat Air Perlis (SAP), yang bertanggungjawab menguruskan bekalan utiliti itu terpaksa menanggung hutang tertunggak berjumlah RM36 juta.
“Terdapat juga kira-kira 10 buah agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang turut mempunyai hutang tertunggak dengan paling tinggi berjumlah kira-kira RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Penggal Persidangan Pertama, DUN Kali Ke-14, di sini hari ini.
Menurut Hamizan, pelbagai program dan kempen serta penguatkuasaan telah dijalankan SAP sejak tahun lalu dan menunjukkan peningkatan hasil yang dikutip oleh syarikat utiliti berkenaan.
“Kita bekerjasama dengan bank-bank tertentu untuk memudahkan pembayaran termasuk perbankan internet. Selain itu, kita turut menghantar surat susulan kepada agensi terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man memberitahu, secara keseluruhan sebanyak RM38.9 juta hutang tertunggak bil utiliti yang perlu dibayar oleh sejumlah agensi kerajaan negeri ini dan Persekutuan sehingga Mei lalu.
Katanya, jumlah itu melibatkan hutang tertunggak sebanyak RM30.1 juta bagi bil elektrik untuk agensi kerajaan negeri ini manakala Persekutuan pula sebanyak RM5.3 juta.
“Dalam tempoh sama, bil air yang tertunggak pula berjumlah RM1.7 juta untuk agensi kerajaan negeri sementara Persekutuan, RM1.8 juta,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd. Shukri Ramli (Pas-Sanglang) yang bertanyakan jumlah bil air dan elektrik oleh jabatan-jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.










