PUTRAJAYA 24 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dijangka berangkat ke sambutan istiadat sempena Sambutan Hari Pahlawan 2018 Selasa depan di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, penganjuran istiadat perbarisan diketuai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kali ini itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Sehubungan itu, pihak urusetia ingin memaklumkan mengenai penggunaan jalan, kawalan lalu-lintas dan trafik di sekitar Presint 1 terutama di Kompleks E dan Kompleks D serta pelaksanaan tembakan meriam istiadat oleh pihak ATM.
“Sesi latihan bermula Khamis ini hingga hari sebenar pada pukul 8 pagi sementara raptai penuh diadakan pada Ahad ini pada pukul 10.30 pagi melibatkan dua das tembakan meriam di Taman Putra Perdana, di sini,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, hari sambutan sebenar iaitu pada 31 Julai pula akan melibatkan 21 das tembakan meriam.
“Oleh itu, warga penjawat awam yang berhasrat untuk ke Presint 1 khususnya ke Kompleks E dan D adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masing bagi mengelak kesesakan lalu-lintas dan kelewatan ke pejabat.
“Selain itu, mereka juga dipohon untuk mematuhi sebarang arahan lalu-lintas oleh anggota polis yang bertugas serta tidak panik dengan bunyi tembakan meriam pada hari-hari berkenaan kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










