SEPANG 24 Julai – Seramai 30 pelajar mengikuti siri jelajah terakhir Penataran Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online di Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi (SAMBBST) hari ini.
Guru penyelarasnya, Tumisah Hakim berkata, pembikinan video adalah aspek penting dalam Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) dan SAMBBST tidak mahu ketinggalan untuk menyertai pertandingan yang turut disarankan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan ini.
“Kita tidak tahu bakat terpendam yang ada pada para pelajar justeru ini adalah pendekatan yang terbaik bagi mendedah dan mencungkilnya di awal usia remaja.
“Kami juga ingin membuktikan sekolah agama setanding dengan sekolah biasa mahupun sekolah elit dalam memberi nilai tambah kepada pelajarnya,” katanya sebelum peserta dilepaskan untuk menjalankan penggambaran.
Kesemua peserta hari ini yang dibahagikan kepada enam kumpulan, diberikan penerangan ringkas mengenai kepentingan papan cerita, teknik rakaman dan suntingan sebelum diminta menyiapkan video berdurasi dua minit.
Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online yang ditaja oleh Orando Holdings Sdn. Bhd. ini adalah terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah seluruh negara dengan tawaran hadiah bulanan sebanyak RM4,000 sehingga 31 Disember ini. – UTUSAN ONLINE










