KOTA KINABALU – Saman berjumlah RM400 juta terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang difailkan penama Zulkifli Kassim ditarik balik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Zulkifli dari Kampung Bobot, Kota Belud, sebelum ini menfailkan saman terbabit berhubung dakwaan penyelewengan wang Yayasan Sabah.
Menerusi saman itu, Zulkifli menuntut sebanyak RM400 juta dengan faedah lapan peratus setahun, kos dan apa-apa perintah yang difikirkan perlu oleh pihak mahkamah.
Menurut kenyataan peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa, susulan tindakan menarik balik saman terbabit pihaknya akan mendapatkan perintah bagi tuntutan kos terhadap plaintif.
“Saman berkenaan jelas bertujuan untuk memalukan klien (Musa) saya. Tindakan ini penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya hari ini.
Terdahulu, pada 4 Julai lalu, satu notis undang-undang yang disiarkan diterbitkan akhbar tempatan menyatakan Zulkifli memfailkan saman RM400 juta di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap Musa bagi menuntut faedah lapan peratus setahun, kos dan apa-apa perintah yang difikirkan perlu oleh mahkamah. – K! ONLINE










