RUU 355: Pemuda UMNO Kelantan harap Pas tidak putus asa - Utusan Malaysia

RUU 355: Pemuda UMNO Kelantan harap Pas tidak putus asa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 24 Jun – Pas diminta untuk tidak putus asa, sebaliknya terus berjuang merealisasikan agenda memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah menerusi pelaksanaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, laluan sukar menanti Pas berbanding ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Hal ini kerana kata beliau, tiga jawatan tertinggi bahagian perundangan dan kehakiman negara kini telah dikuasai oleh individu bukan Islam.

“Ketika kerajaan BN dulu, tidak ada halangan, malah wakil rakyat UMNO turut menyokong usaha dibawa oleh Pas kerana ini memang tuntutan agama.

“Kalau tengok sekarang dengan jawatan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan menteri berkaitan undang-undang bukan Islam, kita berpendapat, laluan sekarang semakin sukar. Tapi kita kena berusaha juga, jangan putus asa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya bersedia mengadakan rundingan baharu dengan kerajaan PH untuk mendapatkan laluan terhadap usaha membahaskan RUU 355 di Parlimen.

Mohd. Amar Nik Abdullah juga berharap sikap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebelum ini dilihat tidak menyokong RUU 355 berubah dan seterusnya turut bersama Pas dalam usaha memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Untuk rekod, selepas Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara, kerajaan PH melantik Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara manakala Datuk Liew Vui Keong dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga ehwal undang-undang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN