KUANTAN – Seekor rusa sambar yang merupakan spesies dilindungi ditemui mati dengan kesan sembelihan ketika Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan serbuan di Hutan Simpan Berkelah, Jerantut petang kelmarin.
Pengarah Perhilitan Pahang Ahmad Azhar Mohamed berkata, rusa betina dewasa berkenaan ditemui pada pukul 12.30 tengah hari dengan keempat-empat kakinya terikat dan dipercayai telah disembelih oleh pemburu haram.
“Selepas menerima maklumat, Perhilitan Pahang bertindak menyerbu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang diletakkan secara tersorok di hutan.
“Bagaimanapun tiga hingga empat lelaki dilihat melarikan diri. Pemeriksaan di kawasan sekitar menemui seekor rusa sambar betina di belakang kenderaan tersebut,” ujarnya semasa dihubungi pemberita di sini semalam.
Rusa sambar betina dewasa kebiasaannya memiliki berat antara 60 hingga 70 kilogram dan dijual di pasaran gelap pada harga sekitar RM80 sekilogram.
Ujar beliau lagi, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 62 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemburu haram yang melakukan perbuatan tersebut.
“Mana-mana orang yang memburu atau menyimpan hidupan liar betina yang dilindungi tanpa suatu lesen yang sah adalah merupakan satu kesalahan serius.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” tegas beliau. – K! ONLINE










