Royalti: Pusat jangan dolak-dalik - Utusan Malaysia

Royalti: Pusat jangan dolak-dalik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Julai – Kerajaan Pas Kelantan berharap kerajaan Pusat tidak berdolak-dalik berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tidak ada mana-mana akta perlu dipinda jika kerajaan Persekutuan menyalurkan bayaran royalti mengikut perjanjian asal iaitu lima peratus daripada pengeluaran.

Katanya, masalah timbul apabila mereka masih memilih memberi royalti 20 peratus daripada keuntungan yang secara jelas tidak terkandung dalam akta dan perjanjian sedia ada.

“Hal ini akan jadi lambat sebab dia nak kira 20 peratus juga sedangkan kami hanya tuntut lima peratus sahaja. Itu asas tuntutan kita. Yang 20 peratus itu, kita tak tuntut tapi kalau nak bayar baguslah.

“Cuma mereka perlu bayar yang dituntut dululah. Kita bimbang kalau mereka hanya guna ini sebagai alasan untuk tidak bayar. Guna itu, ini tapi akhirnya tidak bayar,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak di negara ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera.

Ini berikutan cadangan tersebut bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih.

Oleh yang demikian, kata beliau, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan maka ia akan mengambil masa untuk melakukan pindaan ke atas Akta Pembangunan Petroleum 1974. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN