Royalti petroleum dan gas perlu diperhalusi - Mohamed Azmin - Utusan Malaysia

Royalti petroleum dan gas perlu diperhalusi – Mohamed Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mekanisme pembayaran 20 peratus royalti petroleum kepada negeri pengeluar minyak dan gas akan dibincangkan serta perlu diperhalusi oleh kerajaan serta syarikat petroleum nasional, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk mencapai kata sepakat, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan sudah mengkaji kewajaran usaha ini dalam memenuhi prinsip pengagihan kekayaan yang lebih adil.

“Mengikut kefahaman Pakatan Harapan (PH), cadangan menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus adalah berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan daripada jumlah hasil pengeluaran kasar,” katanya dan menjelaskan bahawa PH sudah membuat analisa struktur kos pengeluaran petroleum oleh Petronas. 

“Namun demikian, cadangan (meningkatkan 20 peratus royalti) ini tidak dapat dilaksanakan segera kerana ianya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA 1974) kerana pengiraan adalah berdasarkan untung kasar dan bukannya atas untung bersih,” kata Mohamed Azmin.

Oleh yang demikian, Mohamed Azmin berkata, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan, ia memerlukan pindaan ke atas PDA 1974. 

Beliau juga berkata, sekiranya Petronas dikehendaki menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar petroleum kepada negeri pengeluar minyak, ianya akan memberi implikasi yang serius terhadap kedudukan kewangan Petronas dan kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang meneliti perkara ini terutama yang membabitkan fungsi serta bidang kuasa agensi berkaitan dan berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Petronas.

“Ia bagi memastikan pembahagian royalti petroleum adalah adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara termasuk kesan kepada hasil kerajaan, industri dan rakyat,” katanya. – Bernama
 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN