Royalti minyak: Kerajaan jangan kelirukan rakyat - Utusan Malaysia

Royalti minyak: Kerajaan jangan kelirukan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak bermain politik dengan pelbagai kenyataan yang boleh mengelirukan dan akhirnya mengeruhkan keadaan berhubung pembayaran royalti minyak di Kelantan dan Terengganu.

Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (NGO R), Mohd. Nazri Deraman berkata, rakyat di kedua-dua negeri itu sudah lama menantikan hak yang sepatutnya mereka dapat sejak dahulu lagi.

Beliau berkata, rakyat ingin melihat kesungguhan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menjalankan amanah, bukan sekadar membuat ucapan penyeri majlis sahaja.

“Pembayaran royalti kepada negeri-negeri pengeluar minyak bukanlah suatu perkara baharu, malah, ia telah dibayar dan masih berjalan bagi Sabah dan Sarawak.

“Soal bertentangan dengan ‘Akta’ adalah tidak timbul langsung. Kami ingin menegaskan royalti petroleum wajib dibayar berdasarkan lima peratus daripada pengeluaran, bukan keuntungan.

“Apa yang dituntut oleh rakyat Kelantan adalah jelas iaitu perjanjian Kelantan-Petronas pada 9 Mei 1975 dan berdasarkan Akta Kemajuan Petroliam 1974,” jelasnya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen hari ini berhubung cadangan kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak di negara ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera.

Perkara itu berikutan cadangan tersebut bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukannya atas keuntungan bersih.

PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk meningkatkan royalti bagi semua negeri pengeluar petroleum kepada 20 peratus, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Ketika ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus manakala Kelantan dan Terengganu hanya menerima wang ihsan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN