Royalti minyak: Kelantan saran lima peratus pengeluaran - Utusan Malaysia

Royalti minyak: Kelantan saran lima peratus pengeluaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 Julai – Kerajaan Persekutuan disaran mengikut perjanjian asas berhubung tuntutan pembayaran royalti minyak sebanyak lima peratus berdasarkan pengeluaran di negeri masing-masing.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya penyaluran royalti sebanyak 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara kepada negeri pengeluar itu adalah merupakan janji yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Sepatutnya Petronas membayar kepada kerajaan negeri sebanyak lima peratus seperti yang dipersetujui dalam perjanjian. Kalau mengikut asas itu, kita akan dapat kira-kira RM700 juta setahun berdasarkan rekod pengeluaran serta hasil yang dibayar oleh pihak Petronas kepada Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia).

“Malah, jumlah itu juga lebih praktikal sebab kalau jumlah 20 peratus syarikat cari gali minyak juga akan rugi. Ini kerana, keuntungan bergantung kepada keadaan, boleh jadi pengeluaran lebih  banyak atau keuntungan lebih tinggi yang mengikut kadar serta harga semasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini memaklumkan kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan PH memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, Jawatankuasa Khas bagi membincangkan perkara itu sudah diluluskan semasa mesyuarat Exco minggu lalu.

“Kita hanya perlukan masa untuk panggil mesyuarat. Setakat ini ahlinya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri, beberapa Exco lain dan termasuk saya selaku pengerusi.

“Jawatankuasa itu akan membincangkan bagaimana royalti minyak dibayar, kaedah pembayaran, berapa jumlah yang patut diterima dan cadangan penggunaan yang akan digunakan demi kesejahteraan rakyat Kelantan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN