PETALING JAYA 20 Julai – Seorang penjual nasi lemak dihukum penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan di sebuah pusat karaoke menggunakan alat renjatan elektrik, dua tahun lalu.
Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizul Hariff Hamzah, 37, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 7 Jun 2016.
Sebelum ini, pada 7 Februari 2017, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas tertuduh sebelum lelaki itu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang kemudiannya memerintahkan kes berkenaan dibicarakan semula pada 3 November 2017.
Mengikut pertuduhan, Azizul didakwa bersama seorang yang sudah dijatuhkan hukuman serta dua orang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebuah alat renjatan elektrik ke atas pekerja wanita berusia 30 tahun dengan mencuri barang berharga milik premis karaoke itu, termasuk wang tunai bernilai RM543.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter pusat karaoke Aladdin, Jalan PJS 8/13, Dataran Mentari di sini kira-kira pukul 5.10 petang, 3 Jun 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, peguam Hermes Putra Media Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman kerana anak guamnya perlu menjaga ibu yang sedang sakit selain baru sahaja bercerai dengan isterinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim yang mengendalikan pendakwaan pula memohon hukuman setimpal atas alasan penjara melebihi 10 tahun adalah sesuai selain mohon dikenakan sebatan terhadap tertuduh.
“Azizul sedar dan tahu mengenai keterangan yang ada terhadapnya tetapi tetap memilih untuk bicara yang melibatkan masa dan kos mahkamah,” katanya.
Seramai empat saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan itu.










