KUALA LUMPUR 26 Julai – Sistem Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dirombak dan dikemas kini agar selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menitikberatkan aspek perpaduan kaum khususnya antara orang Melayu dan kaum Cina.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Muhammad Faizzuddin Mohd. Zai berkata, kerajaan hendaklah memastikan sistem pendidikan negara mampu menjadi platform penyatuan rakyat seperti yang direkodkan dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
“Kerajaan mesti menggubal atau meminda undang-undang yang berkaitan agar setiap sekolah di negara ini sama ada di bawah kerajaan atau persendirian wajib menyediakan kelas pengajian subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang setara dengan sukatan pelajaran kurikulum kebangsaan,” katanya ketika membentangkan memorandum bantahan Gamis terhadap cadangan pengiktirafan UEC di lobi Parlimen, hari ini.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. – UTUSAN ONLINE










