MUNICH – Penyerang sensasi Colombia, James Rodriguez mendedahkan sangat gembira beraksi bersama Bayern Munich meskipun timbul spekulasi apabila dia bertindak memendekkan tempoh pinjaman dan kembali menyertai Real Madrid.
Real Madrid telah meminjamkan Rodriguez ke Bayern Munich pada musim ini selepas pemain antarabangsa Columbia itu sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian jurulatih, Zinedine Zidane.
Kini, pemain berusia 27 tahun itu berada di pertengahan tempoh pinjaman selama dua tahun bersama Bayern yang mana ia turut disertakan dengan pilihan pembelian tetap ke atas bintang Colombia itu pada 2019 yang mencecah €42juta (RM199 juta).
Rodriguez memulakan kempen dengan aksi cemerlang selepas berjaya membantu skuad kendalian Jupp Heynckes menerajui takhta Bundesliga dan kehadiran Rodriguez dilihat dapat membantu Bayern mempersiapkan diri untuk memburu kejua-raan liga ketujuh berturut-turut pada musim 2018/19.
“Setakat ini saya masih di sini dan melalui musim pertama yang sangat cemerlang. Saya gembira dan selesa beraksi bersama Bayern Munich.
“Saya rasa bahawa pihak kelab dan peminat-peminat sangat menyayangi saya. Jadi, biarlah segala spekulasi tersebut”, katanya.
Rodriguez melakukan 39 penampilan buat Bayern dalam semua kejohanan musim lalu, mengutip lapan gol dan mencipta 15 umpanan gol. – Agensi










