KUALA LUMPUR 13 Julai – Dua persatuan pengusaha restoran mahu satu pertemuan diadakan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan harga makanan.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Prisma) berkata, pertemuan itu perlu bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Saifuddin bahawa kira-kira 30 peratus pemilik restoran masih belum menurunkan harga selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) berada pada kadar sifar.
Ini kerana menurut Presiden Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak mengenai harga makanan yang dikatakan mahal di premis-premis kendalian ahli-ahlinya.
Malah katanya, semasa GST diperkenalkan, sebahagian besar pemilik restoran sanggup menanggung enam peratus cukai yang dikenakan kerajaan kerana tidak mahu membebankan pengguna.
“Kenyataan itu seolaholah memberi gambaran ‘kurang sihat’ terhadap golongan pemilik restoran. Apakah kami sahaja yang berniaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sinihari ini.
Sementara itu Presiden Prisma, T. Muthusamy berkata, tidak sepatutnya hanya pengusaha restoran mamak dan India sahaja dipersalahkan memandangkan terdapat kedai makanan lain yang menjual makanan jauh lebih mahal.
“Saya juga khuatir bagaimana kementerian boleh mendapat angka 30 peratus itu,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan kemungkinan wujud satu atau dua kes pemilik restoran menaikkan harga, namun angka 30 peratus itu seolah-olah memberi gambaran yang sangat banyak.











