Restoran makanan nasi kandar popular diarah tutup - Utusan Malaysia

Restoran makanan nasi kandar popular diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebuah premis makanan nasi kandar popular di Lot Komersil Nadi@15, Presint 15 di sini diarahkan tutup selama dua minggu setelah didapati beroperasi dalam keadaan yang agak kotor.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan notis penutupan terhadap premis tersebut serta-merta kerana didapati melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983.

“Pemeriksaan yang dijalankan oleh PPj mendapati terdapat lipas dan lalat yang banyak di dapur selain stor barangan tidak disusun dengan teratur.

“Selain itu, perangkap minyak dan sisa makanan yang terletak di bahagian dapur agak berbau sehingga menyebabkan kehadiran lalat,” katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai operasi oleh pihak PPj di enam premis sekitar Presint 15 hari ini.

Difahamkan, restoran popular tersebut baru beroperasi tiga bulan lalu serta mempunyai cawangan di tempat lain.

Menurut Hasim, pihaknya telah memberi teguran serta mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan sebelum ini tetapi pemiliknya tetap meneruskan operasi seperti biasa tanpa sebarang penambahbaikan.

“Kita beri peluang kalau ada pembaikan dan pembersihan, mereka perlu maklumkan kepada PPj kita akan datang periksa dan jika menepati kriteria yang ditetapkan mereka boleh beroperasi seperti biasa,” katanya.

Jelas beliau, dari segi penggredan, restoran berkenaan mendapat gred C iaitu keadaan premis yang tidak bersih dan penyediaan makanan tidak selamat.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati pengendali makanan di restoran ini kemungkinan tidak mendapat suntikan vaksin pelalian anti-tifoid kerana mereka gagal mengemukakan bukti,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi yang melibatkan 30 kakitangan daripada Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguat kuasa, Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan, Bahagian Alam Sekita, Tasik dan Wetland, Bahagian Seni Bina dan Inspektorat Bangunan serta Jabatan Undang-Undang itu sebanyak enam kompaun serta lapan notis telah dikeluarkan.

Katanya, dari enam premis yang diperiksa sebuah restoran mendapat gred A, empat mendapat gred B manakala sebuah lagi diarahkan tutup sementara.

Dalam pada itu, Hasim berkata, sehingga Jun lalu, sebanyak 350 premis makanan dilesenkan di Putrajaya dan dalam tempoh sama PPj mengeluarkan 58 kompaun, 23 notis amaran serta arahan penutupan ke atas lapan premis.

“PPj sentiasa mengalu-alukan idea baharu daripada pengusaha untuk membuka restoran makanan yang mempunyai pelbagai pilihan dan citarasa, cuma kita harap mereka dapat kekalkan gred kebersihan terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan sijil halal terhadap premis makanan di Putrajaya, beliau berkata, perkara itu belum dilaksanakan sepenuhnya dan masih diperingkat memberi penerangan kepada peniaga.

“Kita belum betul-betul kuatkuasakan lagi dan penerangan diberikan kepada pengusaha restoran dari semasa ke semasa.

“Pada 26 Jun lalu, PPj sudah mengadakan taklimat dengan pengusaha restoran di Putrajaya dan minggu depan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kita akan cuba kumpulkan dan bantu membimbing kira-kira 200 peniaga untuk membuat permohonan sijil halal secara atas talian,” katanya. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN