PUTRAJAYA 17 Julai – Sebuah restoran makanan nasi kandar terkenal dari Kedah yang beroperasi di Pusat Komersial Nadi@15, Presint 15 di sini diarahkan tutup selama dua minggu kerana didapati beroperasi dalam persekitaran yang agak kotor.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, dalam pemeriksaan terdapat premis terlibat, pihaknya mendapati wujud banyak lipas dan lalat di bahagian dapur serta stor barangan makanan tidak disusun dengan teratur.
“Notis penutupan terhadap premis tersebut dikeluarkan serta-merta kerana didapati melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983.
“Selain itu, perangkap minyak dan sisa makanan yang terletak di bahagian dapur agak berbau sehingga menyebabkan kehadiran lalat sekali gus boleh menganggu para pelanggan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai operasi pemeriksaan PPj di enam premis sekitar Presint 15 di sini hari ini.
Difahamkan, restoran popular tersebut baharu beroperasi tiga bulan lalu serta mempunyai satu lagi cawangan di Lembah Klang. – UTUSAN ONLINE










