Reman suspek dera anak kandung disambung seminggu lagi - Utusan Malaysia

Reman suspek dera anak kandung disambung seminggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 16 Julai – Tempoh tahanan reman terhadap pasangan suami isteri yang dipercayai mendera anak kandung mereka sehingga menyebabkan kematiannya dilanjutkan seminggu lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, tempoh tahanan reman pasangan itu yang berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 23 Julai ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih terperinci.

“Mahkamah membenarkan polis menyambung tahanan reman terhadap kedua-dua suspek,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, Muhammad Luthhakim Abdullah, 10, disahkan meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dengan beberapa kesan lebam dan kecederaan lama dipercayai akibat didera ibu kandungnya.

Sebelum itu, dia dilaporkan tidak sedarkan diri di rumahnya di Taman Permatang Badak Maju di sini.

Hasil bedah siasat mendapati berlaku pendarahan pada saluran makanan mangsa yang disebabkan salur darah pecah atau ulser pada esofagus akibat berlaku pukulan.

Susulan itu, seorang wanita berusia 29 dan suaminya berusia 30 tahun ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kematian anak mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN