GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki maut digilis bas ekspres selepas gagal mengawal motosikal ditunggangnya ketika cuba memotong dua buah kereta di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Shahril Shahrul Azhar, 17, berasal dari Paloh 2 di sini dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika sampai di tempat kejadian mangsa cuba memotong dua buah kereta di hadapannya sebelum mangsa terjatuh dan memasuki laluan bertentangan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha gagal mengawal kenderaan telah digilis sebuah bas Ekspres Perdana yang datang dari arah Kuala Krai ke Gua Musang. Pemandu bas cuba membrek dan mengelak namun gagal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, pemandu bas ekspres berkenaan, Romainor Norajin, 37, yang dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kuala Lumpur tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










