GUA MUSANG 26 Julai – Seorang remaja lelaki maut digilis bas ekspres selepas gagal mengawal motosikal ditunggangnya ketika cuba memotong dua buah kereta di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, lewat malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa, Mohd Shahril Shahrul Azhar, 17, berasal dari Paloh 2 di sini dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika sampai di tempat kejadian mangsa cuba memotong dua buah kereta di hadapannya sebelum dia terjatuh dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, Mohd. Shahril Shahrul kemudiannya digilis oleh sebuah bas ekspress yang datang dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
“Pemandu bas ekspress tersebut dikatakan cuba membrek dan mengelak namun gagal.
“Mangsa yang mengalami kecederaan serius meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, pemandu bas ekspres berkenaan, Romainor Norajin, 37, dan kesemua penumpang yang dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Kuala Lumpur itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










