KUALA LUMPUR – “Saya bertuah kerana memiliki seorang adik yang sanggup berkorban untuk abangnya. Saya sayangkan dia.”
Begitulah luahan perasaan seorang pesakit buah pinggang, Mazlan Ali, 40, yang melahirkan rasa syukur atas kesediaan adiknya, Mohd. Azruldin, 32, untuk berkongsi organ tersebut dengannya.
Menurut Pegawai Teknologi Maklumat di Maktab Koperasi Malaysia itu, kesanggupan adiknya untuk menderma sebelah buah pinggang kepadanya membolehkan dia menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi ini.
Katanya, dia yang menghidap penyakit itu sejak 2012 dinasihati oleh seorang doktor yang merawatnya di Hospital Serdang agar menceritakan tentang penyakitnya kepada ahli keluarganya untuk mencari penderma organ pada Aidilfitri 2015.
“Apabila saya memberitahu mereka tentang penyakit yang dihadapi dan bertanya sama ada mereka sanggup untuk menderma buah pinggang, saya terkejut kerana ketiga-tiga adik saya menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian.
“Saya terharu dengan kesanggupan mereka. Bagaimanapun, setelah memikirkan segala faktor, saya memilih Mohd. Azruldin kerana dia yang tinggal paling hampir dengan saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.










