Referendum protes rakyat - Utusan Malaysia

Referendum protes rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENGUNDI perlu menolak calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sebagai referendum bantahan terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji dan isu-isu lain melibatkan kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu yang dicabar.

Oleh sebab itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB menegaskan, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Kandis adalah penting untuk seluruh negara

 

bagi memberikan isyarat kepada kerajaan supaya tidak mengambil mudah ketidakpuasan hati rakyat.

Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di Parlimen baru-baru ini, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sekiranya calon pembangkang menang di Sungai Kandis, ia akan memaksa kerajaan menunaikan janji-janji yang telah dibuat semasa Pilihan Raya Umum (PRU-14).

Namun katanya, sekiranya calon PH menang dengan majoriti lebih besar di Sungai Kandis, ia akan memberikan mesej yang salah kepada kerajaan bahawa mereka boleh berbuat apa sahaja kerana rakyat tidak kisah.

“Jadi, walaupun PRK Sungai Kandis kecil kerana cuma peringkat DUN, tetapi mesej yang hendak disampaikan kepada kerajaan itu besar.

“Mesej yang hendak dibawa di PRK Sungai Kandis, rakyat menolak calon parti kerajaan kerana janji-janji gagal ditepati dan perkaraperkara yang melibatkan kedudukan Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu,” katanya.
 

MINGGUAN: Selepas kekalahan dalam PRU-14, bagaimana Datuk Seri melihat betapa pentingnya untuk BN menang dalam PRK Sungai Kandis?

ISMAIL: Sebenarnya, pentingnya untuk BN menang di PRK Sungai Kandis bukan hanya untuk BN tetapi rakyat seluruh negara. Untuk Selangor, yang pertamanya, kita hendak ada wakil kita yang berani bersuara. Sebab itu, kita pilih Datuk Lokman Adam.

Sekarang ini kita ada empat orang (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN). Kalau kita tambah orang kelima, tetapi tidak berani menyuarakan pandangan, tidak ada gunanya juga.

Jadi, kita hendak orang yang berani supaya kita boleh bawa suara kita dengan lebih jelas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Kemenangan di Sungai Kandis, dianggap sebagai referendum protes rakyat kepada kerajaan kerana gagal menunaikan janji yang dibuat semasa PRU-14 dan sebagainya. Tempat lain tidak boleh hendak menunjukkan protes mereka. Paling-paling kuat pun, kita buat protes dalam grup WhatsApp sesama sendiri.

Tetapi dengan mengungkit janji-janji yang tidak ditunaikan, mendedahkan kelemahan mereka (PH), hak-hak orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu pun sudah dicabar, mungkin masyarakat Melayu yang berada di Ulu Kelantan misalnya, tidak berpuas hati tetapi mereka tidak boleh memprotes. Kita terpaksa tunggu empat atau lima tahun lagi untuk protes dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tetapi dengan kita mengalahkan calon parti kerajaan, kita memberikan gambaran bahawa rakyat tidak boleh terima kerajaan yang tidak menunaikan janji. Jadi, walaupun PRK Sungai Kandis kecil kerana cuma peringkat DUN, tetapi mesej yang hendak disampaikan kepada kerajaan itu besar.

Mesej yang hendak dibawa di PRK Sungai Kandis, rakyat menolak calon parti kerajaan kerana janji-janji gagal ditepati dan perkara-perkara yang melibatkan kedudukan Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Ia perlu diterjemahkan di Sungai Kandis dan dianggap mewakili semua rakyat di seluruh negara yang tidak berpuas hati dengan kerajaan. Ia sebagai referendum protes rakyat terhadap kerajaan hari ini.

Ramai rakyat bising tentang janji-janji yang tidak ditunaikan oleh kerajaan sekarang terutama kos sara hidup yang meningkat. Apakah isu-isu tersebut akan digunakan dalam kempen BN di Sungai Kandis?

ISMAIL: Inilah peluang untuk kita mendedahkan kepada pengundi tentang kegagalan kerajaan hari ini dalam menunaikan janji. Saya percaya calon PH ini akan terus berjanji untuk menang dalam PRK Sungai Kandis.

Tetapi rakyat Sungai Kandis perlu sedar bahawa PH akan menjanjikan apa sahaja. Sebab Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sudah menegaskan dalam Parlimen bahawa tidak perlu terikat dengan manifesto dan ia hanya sebagai panduan. Beliau kata manifesto bukan Bible.

Dari awal lagi apabila mereka berjanji, mereka akan berjanji apa sahaja walaupun tidak boleh ditepati. Sebab itu, kita kena perjelaskan kepada pengundi.

Pertamanya, kalau apa-apa janji pun daripada kerajaan, sama ada daripada Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor atau daripada calon itu sendiri, jangan terpedaya dengan janji itu kerana ia tidak akan ditepati. Kita akan dedahkan segala janji yang telah dibuat dalam manifesto tetapi tidak ditepati.

Pas tidak mempertaruhkan calon di PRK Sungai Kandis. Tetapi apakah pengundi yang mengundi Pas akan mengundi calon BN kali ini?

ISMAIL: Saya tidak dapat menjangka dari segi pengundi Pas. Tetapi saya percaya Pas tidak boleh menerima PH. Tagline Pas ialah “Asalkan Bukan Harapan” dan kita akan gunakan tagline sama dalam kempen.

Saya tidak tahu Pas menyokong kita kerana dia suka kita atau tidak. Tetapi yang lebih penting, dia tidak suka PH. Saya tengok kenyataan daripada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz begitu jelas. Dia tidak boleh menerima PH, lebih-lebih apabila nampak kedudukan Islam tercabar di bawah PH dan yang dominan dalam PH adalah DAP.

Dari segi penentangan itu, kita dapat lihat UMNO pun mempunyai sentimen yang sama. Kita tidak boleh terima PH kerana didominasi oleh DAP.

 

Dalam keadaan sekarang pun, UMNO dan Pas masih tidak mahu bekerjasama secara rasmi. Apakah yang dibimbangkan sangat? Takut kehilangan sokongan?

ISMAIL: Bagi saya, apabila Pas tidak meletakkan calon di PRK Sungai Kandis, itulah gambaran sebenar kerjasama. Walaupun tidak kita nyatakan secara terbuka dan berceramah di atas satu pentas, tetapi apabila mereka tidak meletakkan calon, itu adalah satu isyarat bahawa mereka tidak membantah UMNO bertanding.

Yang kedua, dari segi sokongan, Pas kata mereka tidak boleh terima PH. Jadi kita berharap dan merayu kepada pengundi Pas, mereka beri undi kepada kita. Yang penting pengundi akar umbi Pas, saya harap mereka dapat faham signal yang diberikan oleh kepemimpinan Pas.

BN kalah di Sungai Kandis sejak 2008. Tetapi situasi politik sekarang berbeza. Sejauh mana keyakinan Datuk Seri, BN mampu menang kali ini walaupun ada ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan?

ISMAIL: Masih terlalu awal. Saya kira inilah ujian. Merata-rata orang bercakap tentang tidak puas hati, janji tidak ditepati dan sebagainya. Tetapi ujiannya adalah 4 Ogos nanti. Kalau pengundi memberikan kemenangan kepada parti kerajaan, maknanya rakyat semata-mata bercakap dan masih rela mereka ditipu.

Bagi saya, keputusan PRK Sungai Kandis boleh menjadi indikator perasaan dan sokongan rakyat kepada kerajaan. Ini mungkin akan menjadi panduan untuk kerajaan dalam menunaikan janji.

Kalau kita menang, lebih cepat untuk kerajaan menunaikan janji. Sebab isyarat ini akan membahayakan mereka jika tidak menunaikan janji. Isyaratnya, rakyat menolak calon parti kerajaan kerana tidak menunaikan janji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN