SHAH ALAM 15 Julai- Pernah didakwa menjalinkan hubungan sejenis, itu antara cabaran yang terpaksa dihadapi Reen Rahim sepanjang tidak mendedahkan kisah percintaannya dengan jejaka yang dikenali sebagai AR.
Kongsi Reen, belajar daripada pengalaman lalu dia sangat berhati- hati untuk berkongsi sebarang cerita mengenai kisah cintanya.
“Pernah dikatakan sebagai lesbian sebab selama ini saya tidak pernah berkongsi kisah cinta, jujurnya saya adalah sejenis yang susah untuk sayang orang.
Malah saya pernah solo selama dua tahun sebelum berkenalan dengan kekasih saya yang dikenali sebagai AR ini,” katanya.
Menjalinkan hubungan jarak jauh kerana kekasihnya itu kini tinggal di Scotland, kata Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, antara sebab dia yakin dengan hubungan ini adalah sikap kekasihnya itu sendiri.
“Kami sudah berkenalan hampir setahun, bagaimanapun dia kini bekerja di luar negara dan jarang berjumpa. Namun antara sebab saya yakin dengan dia adalah cara dia yang tidak pernah membuatkan saya terasa jauh dengan dia.
“Memang kami menggunakan teknologi untuk sentiasa berhubung,” katanya lagi.
Mengakui keluarga kedua belah pihak sudah mengetahui hubungan ini, namun kongsi pelakon berusia 30 tahun ini dia masih belum merancang soal perkahwinan.
“Kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing- masing. Buat masa ini keluarga sudah tahu.
“Malah ketika sambutan hari raya baru- baru ini saya turut melawat dia di Scotland bersama keluarga,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










