Rayuan JPN, dua lagi didengar 18 Oktober - Utusan Malaysia

Rayuan JPN, dua lagi didengar 18 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Julai – Rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua lagi pihak terhadap keputusan yang membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya akan didengar semula oleh panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada 18 Oktober ini.

Peguam Nizam Bashir yang mewakili pihak keluarga berkenaan memberitahu pemberita, rayuan tersebut akan didengar semula (de novo) di hadapan panel yang baharu memandangkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang mengetuai panel lima hakim terdahulu telah meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 31 Julai lalu.

Tarikh tersebut menurut Nizam ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Syahrin Jeli Bohari ketika pengurusan kes hari ini dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob mewakili JPN.

Dalam rayuan tersebut, kanak-kanak lelaki itu merupakan anak tidak sah taraf kerana dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh). Dia dilahirkan pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).

JPN, Ketua Pengarahnya serta Kerajaan Malaysia merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi mengunakan bin atau binti ‘Abdullah’, sebaliknya mereka boleh menggunakan nama bapa masing-masing dalam sijil kelahiran. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN