MATARAM, Indonesia – Indonesia melancarkan misi menyelamat semalam untuk memindahkan lebih 500 pendaki dan pemandu arah yang terkandas akibat tanah runtuh di sebuah gunung berapi aktif di Lombok, sehari selepas gempa bumi kuat menggegarkan pulau percutian itu.
Beberapa buah helikopter dan pasukan mencari dikerah untuk menggeledah di lereng-lereng Gunung Rinjani. Gunung berapi itu mempunyai banyak laluan pendakian yang popular dalam kalangan pelancong. Pasukan penyelamat juga menggugurkan bekalan makanan dari udara kepada mereka yang terkandas.
Bertan-tan batu dan lumpur mengalir turun dari Gunung Rinjani akibat gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 yang berlaku pagi kelmarin sebelum sejumlah gempa susulan menyusul, menyebabkan kumpulan pendaki sukar untuk mencari laluan turun ke tempat selamat.
“Masih ada 560 orang yang terperangkap,” kata Ketua Taman Negara Rinjani, Sudiyono.
Mereka yang dipercayai terperangkap termasuk rakyat Amerika Syarikat, Perancis, Belanda, Thailand dan Jerman di samping beberapa negara lain, demikian menurut pegawai-pegawai penyelamat.
Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam gempa bumi di sekitar kawasan terjejas di Pulau Lombok, manakala beratus-ratus bangunan musnah.
Operasi menyelamat di Gunung Rinjani itu dijangka berlangsung sehingga sekurang-kurangnya hari ini dengan sebuah helikopter tentera menggugurkan bekalan di beberapa lokasi di atas gunung berapi itu.
“Dari aspek bekalan, mereka boleh bertahan satu atau dua hari lagi,” demikian menurut jurucakap agensi mencari dan menyelamat Mataram, Agus Hendra Sanjaya kepada agensi berita AFP.
Beliau mengesahkan bahawa tiada pendaki yang cedera. Gunung berapi setinggi 3,726 meter itu merupakan puncak kedua paling tinggi di Indonesia dan menjadi lokasi kegemaran pelawat.
Pusat gempa terletak 50 kilometer ke timur laut bandar utama di Pulau Lombok, Mataram, demikian menurut Pusat Kajian Geologi AS.
Gempa itu disusuli dua gegaran kuat dan lebih 100 gempa susulan.
Kira-kira 160 orang cedera dalam kejadian itu, kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nusa Tenggara Barat, Mohammad Rum.
Antara yang terkorban ialah seorang rakyat Malaysia, manakala enam lagi rakyat negara itu cedera, kata Kementerian Luar Malaysia.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo melawat kawasan terjejas semalam dan berjanji untuk memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang hilang kediaman dalam bencana itu. – AFP










