SEPANG 25 Julai – Syarul Ema Rena Abu Samah atau Ratu Naga dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menghantar komen yang menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial, Facebook, tiga tahun lalu.
Perkara itu dicapai oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas Peguam Negara menggugurkan pertuduhan terhadapnya.
Hakim Saifulakmal Mohd. Said memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakannya agar pertuduhan itu ditarik balik.
Perunding bangunan itu diwakili oleh peguam Zaid Malek manakala Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd. Zameri mewakili pihak pendakwaan.
Pada 18 Februari 2016, Syarul Ema Rena, 37, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghantar komen bersifat menghina bekas Perdana Menteri menerusi laman sosial, Facebook pada pukul 12.02 malam, 6 Oktober 2015.
Tertuduh yang menggunakan nama samaran ‘Ratu Naga’ di laman sosial Facebooknya didakwa menghantar komen yang jelik dan menghina Najib berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bertujuan menyakitkan hati pihak lain. – UTUSAN ONLINE










