Ramos seperti penggusti – Klopp - Utusan Malaysia

Ramos seperti penggusti – Klopp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO 28 Julai – Selepas 63 hari berlalu sejak Liver­pool kalah dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara kepada Real Madrid, Jurgen Klopp akhirnya membuka mulut mengenai insiden kecederaan Mohamed Salah dengan menyifatkan Sergio Ramos seperti seorang penggusti.

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) berkata sesuatu kepada
JURGEN KLOPP menganggap Mohamed Salah menjadi mangsa kekasaran ala gusti dilakukan oleh Sergio Ramos dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.

Pengendali skuad Reds, Klopp menyifatkan kekasaran ketua pasukan Real berkenaan ke atas Salah adalah kejam kerana menyebabkan pemain kebangsaan Mesir itu terpaksa mening­galkan padang pada minit ke-24 setelah mengalami kecederaan serius.

Klopp pada awalnya tidak berniat untuk meng­ungkit episod sedih itu, namun dia berkata demikian secara spontan ketika me­ngulas berhubung persedia­an pasukannya menjelang pertemuan dengan Manchester Uni­ted dalam Piala Kejuaraan Antarabangsa di Michigan hari ini.

“Sudah tentu, sukar untuk melupakan peristiwa tersebut (tewas 1-3 kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara). Selepas tamat perlawanan, seseorang bertemu dengan saya untuk menunjukkan kejadian itu secara lebih mendalam.

“Walau bagaimanapun jika anda melihat semula, anda pasti fikir anda tidak mahu berpihak kepada Real Madrid kerana tindakannya itu kejam dan brutal. Anda jangan fikir bahawa “Wow! Asakan yang menarik!”. Bukan, tindakan itu sebenarnya kejam.

“Saya tidak fikir Mo (Mohamed) akan cedera pada masa itu, namun ternyata kami tidak bernasib baik. Namun kami fikir inilah pengalaman yang sukar kami dapat.

“Saya tidak pasti sama ada kami akan dapat pengalaman sebegini lagi. Pergi bermain dan kemudian menyiku penjaga gol, jatuhkan penja­ring gol seperti dalam gusti di tengah padang, kemudian anda menang.

“Inilah kisahnya. Ramos sudah menjelaskannya namun saya tidak suka. Sejujurnya saya tidak suka de­ngan tindakan Ramos. Dia seperti “Tidak hairan! Apa yang mereka mahukan? Perkara ini adalah normal”.

“Tidak! Ini bukan normal. Jika VAR (video bantuan pengadil) ada pada masa itu, dia akan dinilai semula, bukan sahaja dia patut dilayangkan kad merah tetapi anda juga akan kata “Apa sudah jadi?”.

“Jika anda menyaksikan semua perlawanan Ramos, anda dapat lihat semua sisi buruknya. Dalam perlawanan akhir setahun sebelum itu, bertemu Juventus, dia penyebab Juan Cuadrado dilayangkan kad merah,” ujar Klopp. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN