Ramasamy, Kula Segaran tidak hormat keputusan PM - Utusan Malaysia

Ramasamy, Kula Segaran tidak hormat keputusan PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang mengingatkan kerajaan agar menghormati perjanjian ekstradisi dengan India berhubung isu Dr. Zakir Naik sebagai tidak menghormati pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

M. KULA SEGARAN
M. KULA SEGARAN

Selain itu, tuduhan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran yang pernah menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) menarik semula status penduduk tetap Zakir kerana didakwa membuat ucapan berbaur kebencian juga layak digelar sebagai tuduhan yang tidak berasas dan langsung tidak pernah dibuktikan.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, pihaknya menggesa Ramasamy dan Kula Segaran agar memfokuskan kepada bidang tugas hakiki berdasarkan portfolio masing masing dan tidak terbabas daripada kerja dan tanggungjawab seperti diamanahkan oleh rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sebagai individu yang telah mendapat status penduduk tetap, jika Zakir tidak terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah, maka beliau tidak perlu dihantar pulang ke India walaupun atas alasan wujudnya perjanjian ekstradisi.

“Sebagai seorang yang mempunyai sifat melawan dan tidak akur dengan penegasan Perdana Menteri, Ramasamy menjelaskan bahawa kerajaan India membuat dakwaan serius terhadap Zakir yang dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, mengganggu keharmonian dan terlibat dengan perlakuan yang melanggar undang-undang.

“Ramasamy perlu membaca semula perjanjian ekstradisi tersebut. Lagipun Dr. Mahathir telah menjelaskan bahawa selagi Zakir tidak menimbulkan sebarang masalah, Malaysia tidak akan menghantar beliau pulang kerana dia ada status penduduk tetap di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita bertajuk Ramasamy: Malaysia perlu hormati perjanjian ekstradisi dengan India.

Sebelum ini, Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) dilaporkan memohon polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis terhadap Zakir bagi menghalangnya keluar dari Arab Saudi berikutan siasatan berhubung aktiviti keganasan di Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan olehnya.

Pendakwah popular itu meninggalkan India sejak 2016 selepas didakwa kononnya terlibat dengan kegiatan mempromosi aktiviti keganasan di negara terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×