KUALA LUMPUR – RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings) menjangkakan kadar inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada Jun 2018 berbanding 1.8 peratus pada Mei 2018 walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus pada bulan yang sama.
Agensi penarafan itu berkata, Jun secara konservatifnya dianggarkan membawa penurunan inflasi keseluruhan 0.4 mata peratusan namun dijejaskan oleh peningkatan inflasi bahan api pengangkutan yang lebih besar.
“Harga purata bahan api RON95 naik 9.9 peratus (Mei: 5.1 peratus) ekoran kesan asas rendah yang ketara, dengan harga pada purata RM2 seliter pada Jun 2017 berbanding RM2.09 pada Mei 2017.
“Harga RON95 diunjurkan kekal tidak berubah pada RM2.20 seliter dalam keadaan pengembalian semula subsidi sehingga sistem yang lebih bersasar diperkenalkan,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
RAM Ratings berkata, memandangkan harga purata susut kepada RM1.97 seliter pada Julai 2017, kesan asas rendah yang lebih kukuh dijangka meningkatkan semula tekanan inflasi komponen tersebut pada Julai 2018.
Sementara itu, agensi tersebut berkata, pengguna bukan kediaman (sektor perniagaan dan perindustrian) berdepan tarif elektrik lebih tinggi sejak 1 Julai susulan pelaksanaan caj tambahan 1.35 sen/kWh ke atas purata tarif asas 39.45 sen/kWh mulai Julai hingga Disember 2018. – Bernama










