KOTA BHARU 24 Julai – Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra membangkitkan aspek kebersihan dan keceriaan di negeri ini yang kurang memuaskan sehingga sering menjadi isu utama dan hangat diperkatakan dalam media sosial.
Menurut baginda, kurangnya keprihatinan masyarakat di negeri ini berhubung kepentingan penjagaan kebersihan dan alam sekitar menjadi faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut.
“Justeru itu, beta mengesyorkan agar pendekatan kempen pembudayaan kebersihan dalam kalangan masyarakat di samping penguatkuasaan berterusan menjadi fokus utama pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
“Di samping itu, bantuan kewangan dan prasarana kebersihan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan amatlah perlu bagi membolehkan segala usaha merealisasikan pelaksanaan program Kelantan bersih dapat dicapai dengan jaya,” katanya.
Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, isu kebersihan merupakan antara fokus utama yang ditangani kerajaan negeri bagi penggal baharu ini, selain isu bekalan air bersih.
Beliau berkata, antara inisiatif akan dilakukan pihaknya ialah menguatkuasakan undang-undang kecil PBT sedia ada termasuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati melakukan kesalahan berkaitan kebersihan.
“Ini bukan perkara baharu, peraturan ini sudah lama ada, namun tidak dikuatkuasakan. Jadi kali ini kita bertindak tegas dengan keluarkan kompaun yang berbentuk amaran supaya orang ramai tahu, apa kesalahan mereka,” katanya.










