WAKIL-WAKIL rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mewakili parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Pas dan lain-lain parti termasuk wakil Bebas menyertai Parlimen Ke-14 2018 untuk membincang hal-hal negara yang akan berlangsung mulai semalam 16 Julai di Dewan Rakyat.
Mereka terdiri daripada 122 wakil PH meliputi PKR (48), DAP (42), PPBM (13), Amanah (11) dan Warisan (lapan). Wakil parti-parti pembangkang meliputi UMNO (54), Pas (18), PBB (13), MIC (dua), PRS (tiga) PDP (dua), MCA (satu), SUPP (satu), Star (satu) dan Bebas (dua). Persoalannya, apakah perkara atau isu yang akan menjadi fokus perbincangan wakil rakyat yang kebanyakannya muka baharu?
Kerajaan PH yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad telah selesai pelantikan Kabinet malah telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan untuk membaiki urus tadbir negara terutamanya sektor kewangan dan kehakiman negara. Antaranya, pelaksanaan dasar cukai barang dan perkhidmatan (GST) sifar, runding semula kos dan buat keputusan untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek infrastruktur awam seperti LRT3, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam menjimatkan kos pembinaan dan sebagainya yang didapati mendapat sokongan rakyat merentasi semua kaum dan golongan rakyat Malaysia.
Malah pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara baru-baru ini juga mendapat sambutan hebat daripada rakyat terutamanya pelantikan seorang dari Sabah didapati menggembirakan warga Sabah dan Sarawak kerana inilah pertama kalinya seorang warga dari Negeri Di Bawah Bayu dilantik untuk menerajui Jabatan Kehakiman Negara atau jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara.
Dalam pada itu, pengumuman pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membasmi rasuah dalam kalangan menteri dan pegawai jawatan tertinggi dalam sektor kerajaan juga dialu-alukan dalam kalangan rakyat. Malah, Dr. Mahathir yang menyambut ulang tahun ke-93 baru-baru ini berkata, hasrat harijadinya adalah untuk akhbar membantu kerajaan memerangi rasuah.
Sehubungan itu, kerajaan PH perlu memastikan tidak timbul persepsi bahawa tindakan kerajaan PH tidak membayangkan sikap dikotomi dan selective dalam mengambil tindakan membasmi rasuah terutamanya tindakan yang diambil oleh agensi penguatkuasaan seperti SPRM.
SPRM diharap mengambil tindakan bukan sahaja untuk membongkar salah laku dan penyelewengan kononnya yang berlaku dalam era kerajaan sebelumnya malah perlu meneruskan tindakan terhadap beberapa pemimpin parti politik (high profile) dan pegawai kerajaan yang disiasat sebelum kerajaan BN ditumbangkan.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan PH sejak menguasai Putrajaya dan lantikan ke jawatan tinggi daripada warga golongan bukan Melayu ini menunjukkan bahawa kerajaan PH cuba merealisasikan falsafah dan pendekatan ‘ Malaysia Baharu’ yang di uar-uarkan dalam media akhir-akhir ini?
Secara umumnya, rakyat amat mengalu-alukan tindakan kerajaan PH membasmi rasuah dalam negara terutamanya dalam sektor kerajaan. Namun, rakyat dikesan rasa bingung dan terkeliru malah tertanya-tanya maksud sebenar terhadap konsep ‘Malaysia Baharu’ yang diuar-uarkan dalam media cetak dan elektronik yang sering dikaitkan dengan kerajaan PH.
Persoalannya, apakah Malaysia Baharu membawa erti membina sebuah negara serta melahirkan sebuah bangsa Malaysia bukan beracuankan kontrak sosial, yang menjadi asas kepada pembinaan negara Malaysia, malah yang menjadi asas kepada struktur sosio-budaya rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum?
Di sebaliknya, apakah Malaysia Baharu bermakna melangkah paradigma baharu ke arah menerima dan menerapkan nilai-nilai ‘baharu’ berteraskan kepada nilai-nilai sejagat terutamanya nilai-nilai kesamarataan meliputi peluang yang saksama kepada semua warga Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum dan agama dalam semua sektor kehidupan termasuk bidang pendidikan, politik dan perkhidmatan awam?
Kerana itu, kerajaan PH, terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diterajui oleh Gobind Singh Deo, seorang anak muda yang berjiwa dinamik, diharapkan akan menggunakan agensi-agensi kerajaan di bawahnya untuk menjelaskan falsafah dan pendekatan kerajaan PH terhadap nila-nilai baharu yang dimaksudkan oleh kerajaan PH yang seharusnya boleh diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Apapun, nilai-nilai murni yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat resam dan kebudayaan rakyat Malaysia seperti keadilan, kerjasama, amanah, muafakat, ikhlas, bersih, bersyukur, bertimbang rasa, bertoleransi, beretika, kebebasan dan lain-lain nilai mulia sejagat yang jelas terkandung dalam Rukun Negara harus menjadi asas pembentukan dan kelahiran sebuah bangsa ‘Malaysia Baharu’.
DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.










