ARAU 17 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bercemar duli menerima kunjungan sembah menghadap hormat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, di sini malam ini.
Kehadiran Perdana Menteri dan isteri itu adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-75 yang diadakan pada hari ini.
Pertemuan tertutup kira-kira 30 minit itu turut disertai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda bersama tetamu yang hadir itu kemudian menyertai majlis santapan negeri di Dewan Bankuasi, istana tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri tiba di perkarangan Istana Arau kira-kira pukul 8.40 malam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco); wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan dan ketua-ketua jabatan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE










