Raja Perlis seru kepimpinan kerajaan negeri jalankan tugas penuh integriti - Utusan Malaysia

Raja Perlis seru kepimpinan kerajaan negeri jalankan tugas penuh integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru barisan kepimpinan kerajaan negeri supaya menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, jujur, bertanggungjawab dan berintegriti selepas diberikan amanah oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Titah baginda, patuhilah segala undang-undang dan peraturan sedia ada demi menjaga agama, rakyat dan nama baik negeri.

“Selepas PRU-14 yang lalu, Perlis telah menjadi negeri pembangkang namun, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berusaha meneruskan agenda pembangunan di negeri ini.

“Beta ingin menyeru kerajaan negeri menjalinkan hubungan kerja yang baik, mesra dan erat dengan kerajaan Pusat.

“Walaupun wujud perbezaan ideologi politik beta yakin tentu ada titik persamaan dalam soal agenda pembangunan demi faedah rakyat,” titah Tuanku Syed Sirajuddin sempena pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke-75 di Istana Arau di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat hadir, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN