KANGAR 17 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat bercemar duli meraikan kepimpinan tertinggi Kor Rejimen Renjer DiRaja (RRD) dan Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD) dalam satu majlis santapan malam Ramah Mesra yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Polis Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar pada Sabtu lalu.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Keberangkatan baginda yang juga merangkap Tuanku Kolonel Yang Dipertua Kor RRD dan Kor KPTD disambut oleh Panglima 4 Briged, Brig Jen Datuk Md Din Abu selaku Pengerusi RRD dan Probos Marsyal Tentera Darat yang juga Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Brig Jen Mislan Anuar.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia (TDM) Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan bekas Pengerusi Kor RRD iaitu Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar.
Kepimpinan tertinggi RRD dan juga KPTD berkampung di Perlis selama beberapa hari bersempena sambutan hari ulangtahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis yang ke-75 pada tahun ini yang melibatkan pelbagai pertandingan dan aturcara sukan termasuklah kejohanan bolasepak tahunan merebut Piala Tuanku Syed Putra di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra (KSTSFP), golf di Kelab Golf Putra (KGP) Perlis dan juga woodball di Laman Woodball Antarabangsa Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP di Pauh Putra.
Turut diundang menghadiri majlis santapan tersebut ialah pasukan seni mempertahankan diri serta senaman ‘Chigung’ antarabangsa seramai 11 orang yang melibatkan para peserta dari Slovakia, negara Czech dan Switzerland yang mewakili ‘Asia Budo Centre’ berpengkalan di Zurich, Switzerland di bawah kepimpinan Master Yaw Hwa Chin yang berasal dari Malaysia.
Mereka berada di Perlis selama empat hari dan akan mengadakan program-program di Sekolah Menengah Agama Arau, Maktab Rendah Sains Mara Arau dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis. – UTUSAN ONLINE










