MIRI 15 julai – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 30/2018 yang dianjurkan oleh Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia di Hotel Pullman Miri, Sarawak semalam.
Keberangkatan baginda selaku Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) berpengkalan di Kem Bukit Ketri Perlis itu disambut oleh Asisten Panglima Pasukan Simpanan TDM Mej Jen Datuk Zainal Abidin.
Persidangan tahunan tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Turut berangkat ke persidangan yang diadakan dari 13 hingga 15hb Julai 2018 di Miri itu ialah Komander Rejimen 513 AW Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Komander Rejimen 512 AW Tengku Sri Temenggong Terengganu Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Dalam ucapan perasmian persidangan tersebut Ahmad Hasbullah menyentuh mengenai Askar Wataniah akan terus berkembang pesat selaras dengan perkembangan tentera darat berdasarkan ‘Plan Army for Next Generation’ atau ‘Army 4nextG’.
Sehubungan dengan itu kekuatan askar wataniah perlu ditingkatkan sehingga mencapai nisbah 1:1 (80,000) kepada anggota tetap angkatan tentera. Nisbah ini perlu dicapai selepas tahun 2023.
Bagi memastikan nisbah ini tercapai, proses pengambilan anggota baru perlu dipertingkatkan dengan menggandakan promosi terutamanya kepada Briged Sukarelawan Negara (BSKN). Penuntut-penuntut pusat pengajian tinggi awam atau swasta menyertai askar wataniah. Utusan Online










