MUSIM buah durian kembali menjengah. Ramai yang tercari-cari buah yang terbaik untuk dinikmati bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.
Jika di negeri ini, keenakan durian dari daerah Pontian, Segamat dan Tangkak memang menjadi buah mulut orang ramai.
Malah, ramai yang mengakui ‘raja buah’ dari tiga daerah ini antara yang terbaik.
Teropong Kawan kebetulan berkesempatan mengunjungi sebuah dusun durian di Kampung Sawah, Pontian semalam.
Nyata kunjungan itu bukan sahaja untuk menikmati raja buah tersebut bersama-sama rakan-rakan, malah dapat mengembalikan nostalgia jadi ‘penunggu durian’ suatu ketika dahulu di kampung halaman di Engkilili, Sarawak.
Berkesempatan membantu mengutip buah durian yang gugur memberi satu kepuasan sambil menikmati raja buah dalam suasana segar kampung.
Andai sesiapa yang berkesempatan, bawalah keluarga dan kenalan ke Dusun Durian Landak yang menyajikan pelbagai jenis termasuk durian kampung yang enak.
Pengusahanya yang selesa disapa Hadi mengakui ramai penggemar raja buah berkunjung ke dusunnya sejak beberapa minggu lalu sebaik sahaja mengetahui duriannya mulai gugur.
Harga yang dikenakan juga amat berpatutan.
Teropong Kawan amat bersetuju dengan Hadi bahawa pokok durian peninggalan moyang dan ibu bapanya itu tumbuh subur dan mengeluarkan buah yang banyak berkat doa orang ramai dan pelanggan yang datang selama ini.
“Pokok durian di sini mengeluarkan hasil yang baik berkat doa orang ramai dan para pelanggan. Memang saya ingin berkongsi rezeki dengan ramai orang dan sebab itu harga yang dikenakan amat berpatutan,” katanya.
Di sebalik keikhlasan Hadi berkongsi rezeki buah berkenaan, Teropong Kawan ingin berpesan kepada para peniaga yang mendirikan gerai-gerai di tepi jalan atau menjual raja buah secara bergerak supaya bersikap jujur.
Jangan terlalu menekan harga untuk mendapat keuntungan tinggi sedangkan mereka mendapat bekalan durian daripada pekebun pada harga murah.
Selain itu, usahlah jual buah durian yang belum masak semata-mata untuk menjualnya semasa harga masih tinggi. Biarlah jual buah yang sudah betul-betul masak dan gugur, bukan yang dipetik dari pokok.
Para peniaga ‘touch n go’, iaitu muncul semasa musim buah juga janganlah menjual buah-buahan yang diketahui kurang baik. Cuba bayangkan kita sendiri menjadi pembeli dan mendapat buah durian yang kurang elok – pasti merunggut dalam hati dan tidak akan membeli lagi daripada peniaga berkenaan pada masa depan.
Andai bersikap jujur dan membantu pelanggan memberikan penerangan dengan baik, pasti mereka akan datang lagi dan akan menjadi pelanggan tetap selepas itu.
Justeru, ‘belilah’ kesetiaan dan kepercayaan pelanggan dengan kejujuran, usah menipu mereka.
Seperkara lagi, janganlah semua raja buah yang dijual dikatakan durian dari Pontian, Segamat atau Tangkak yang sedia popular kerana keenakannya.
Sekiranya, durian diambil dari Mersing, Batu Pahat atau Kulai, maklumkan secara jujur dan apa salahnya belah dan beri pelanggan merasai keenakannya.
Oleh itu, berniagalah secara jujur dan berhemah. Selamat menjamu raja buah.
Teropong Kawan: Baru tahu ada durian nanas merah.










