BANGKOK 13 Julai – Bapa salah seorang remaja yang diselamatkan dari gua Tham Luang, utara wilayah Chiang Rai mendedahkan kesemua 12 pemain bola sepak ‘Wild Boar’ dan jurulatih mereka merancang untuk berteduh dalam gua berkenaan selama sejam sahaja.
Bagaimanapun, paras air yang naik secara berterusan dalam gua terbabit mengakibatkan mereka terperangkap selama lebih dua minggu.
“Dia memberitahu saya, sebaik sahaja mereka habis berlatih, mereka bermain bola dalam gua tersebut. Mereka menyangka akan berada di situ selama sejam sahaja.
“Ketika berada dalam gua, hujan turun, air mula mengalir masuk dan mereka semua berlari selamatkan diri,” kata Banpot Korncam, bapa kepada kapten pasukan berkenaan.
Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam satu operasi yang berlangsung selama tiga hari dari Ahad hingga Selalu lalu.
Sementara itu, sebahagian pemain ‘Wild Boar’ yang tidak terlibat dalam kejadian berkenaan, mengakui tidak sabar untuk berlatih bersama-sama 12 remaja terbabit.
“Saya mahu memberitahu mereka bahawa saya rindukan dan mahu memeluk mereka. Saya mendoakan mereka cepat sembuh supaya kami boleh bermain bola sepak bersama-sama lagi,” kata salah seorang pemain pasukan itu, Supaghid Pragaihong.
Pemain ‘Wild Boar’ menjalani latihan buat pertama kali semalam sejak rakan sepasukan mereka terperangkap dalam gua berkenaan.
Ketua jurulatihnya, Nopparat Khantavong berkata, sebahagian pemain yang masih ada kelihatan bersemangat selepas mengetahui rakan sepasukan mereka berjaya diselamatkan.
Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan pelombong arang batu Chile yang pernah mengalami nasib hampir serupa selepas terperangkap selama 69 hari dalam runtuhan lombong lapan tahun lalu, meminta agar 12 remaja dan jurulatih mereka tidak termakan dengan sebarang janji manis yang ditawarkan.
Kisah pelombong berkenaan diangkat ke layar perak dan dibintangi oleh aktor terkenal, Antonio Banderas.
Meskipun filem berjudul The 33 berjaya meraih kutipan AS$25 juta (RM101 juta), kesemua pelombong berkenaan tidak mendapat walaupun satu sen daripada syarikat penerbitan filem terbabit.
“Perkara paling mustahak ialah pihak berkuasa dan keluarga perlu melindungi mereka kerana ramai yang cuma mahu mengambil kesempatan sahaja,” kata salah seorang pelombong, Luis Urzua.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga daripada mereka yang diselamatkan mungkin akan diberikan kerakyatan Thailand dalam tempoh enam bulan.
Pornchai Kamluang, Adul Sam-on dan jurulatih mereka, Ekapol Chanthawong tidak memiliki kerakyatan Thailand.
Pihak berkuasa tempatan telah berjanji menyediakan bantuan guaman kepada ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan pengesahan kewarganegaraan.
Ketiga-tiga mereka mungkin diberikan kerakyatan sekiranya tiada sebarang masalah dalam dokumen mereka. – AFP/AGENSI











