Rafizi bantah kenaikan tarif elektrik - Utusan Malaysia

Rafizi bantah kenaikan tarif elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Julai – Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan untuk menaik­kan tarif bersih elektrik dengan pelarasan mekanisme kos tidak berimbang (ICPT) dijangka menyebabkan usaha lain untuk menurunkan harga barang menjadi sia-sia.

RAFIZI RAMLI

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kenaikan itu dijadikan alasan untuk peniaga tidak menurunkan harga barang walaupun kerajaan menunaikan untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kenaikan bersih tarif elektrik itu dijadikan alasan utama peniaga menaikkan harga barang selain pelaksanaan cukai jualan (SST) walaupun GST dan kenaikan minyak mingguan telah dihapuskan.

“Sebab itu tempoh masa antara Julai dan Disember tahun ini adalah cukup penting untuk meng­elakkan sebarang kenaikan tarif baru yang ditetapkan kerajaan.

“Ini adalah untuk meneliti reaksi peniaga dan industri kepada langkah menstabilkan harga barang yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan sebelum ini berkata, kerajaan memutuskan supaya peningkatan kos sebanyak 1.35 sen setiap kWj dilepaskan dalam bentuk surcaj ICPT kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2018.

Kerajaan turut menetapkan surcaj ICPT itu dikecualikan kepada semua pengguna domestik sepanjang tempoh sama.

Menurut Rafizi, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menangguhkan pelarasan ICPT hingga tahun depan bagi memboleh­kan kerajaan mengkaji terlebih dahulu tindak balas peniaga dan industri kepada langkah kerajaan untuk menurunkan harga barang.

“Untuk berlaku adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menanggung kos bahan api lebih tinggi, saya mencadangkan kerajaan berunding dengan mereka untuk mencari jalan penyelesaian.

“Yang pertama, memberi keutamaan kepada TNB untuk mendapatkan kerja-kerja penjanaan elektrik baharu yang ditetapkan kerajaan supaya TNB tidak terlalu terikat kepada perjanjian jual beli elektrik daripada penjana bebas dan mengkaji semula sebarang perjanjian jual beli elektrik antara TNB dan penjana bebas yang merugikan mereka,” katanya.

Rafizi berkata, beliau akan membawa cadangan untuk menangguhkan kenaikan tarif bersih elektrik itu ke mesyuarat Biro Politik PKR malam ini agar perkara tersebut disuarakan oleh wakil PKR dalam Jemaah Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN