PUTRAJAYA 27 Julai – Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018 pada 31 Ogos ini adalah amat signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan baharu di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pemilihan Putrajaya yang merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan juga dibuat atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Seperti semua sedia maklum, tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah Sayangi Malaysiaku. Tema ini dipilih bagi merai dan mempertingkatkan lagi semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia.
“Oleh itu, semua warganegara harus membuktikan manifestasi kasih sayangnya kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh perasaan bangga mulai sekarang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Gobind turut memperkenalkan logo rasmi Hari Kebangsaan serta lagu tema tahun ini bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’ ciptaan Sam Bunkface dan dinyanyikan kumpulan Bunkface.
Dalam sidang akhbar berkenaan, Gobind memberitahu, Tun Dr. Mahathir akan menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 5 Ogos ini.- UTUSAN ONLINE










