KANGAR 6 Julai – Pusat Transformasi Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan yang siap dibina pada November tahun lalu telah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu dengan melibatkan mereka dan keluarga secara langsung.
Antara dilakukan ialah menyediakan perkhidmatan sewaan penginapan termasuk kemudahan dewan seminar yang mampu menampung seramai 500 orang dalam satu-satu masa berserta perkhidmatan katering.
Pengarah Bahagian Sumber Manusia Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Raja Kahalid Raja Arifin berkata, aktiviti lain, membekalkan diesel kepada para pengusaha bot yang mematuhi syarat-syarat ditetapkan melalui Skim Subsidi Diesel.
Katanya, selain itu, menjalankan aktiviti pemasaran ikan untuk membantu nelayan memasarkan hasil tangkapan dan produk hiliran mereka secara terus kepada pengguna.
“Kita juga menghasilkan produk keropok lekor dan mengusahakan kedai runcit yang dikenali dengan Nelayan Mart,” katanya ketika berucap pada majlis santapan malam Menjunjung Kasih Bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-75 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dianjurkan oleh LKIM di Pusat Transformasi Nelayan PNK Perlis Selatan di Kuala Sungai Baru, dekat sini malam tadi.
Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat sama bercemar duli menghadiri majlis itu.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Raja Kahalid.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah berkenan melihat produk-produk hiliran yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita) Perlis iaitu persatuan yang dianggotai oleh isteri-isteri nelayan bagi menjana ekonomi.
Antara produk-produknya ialah pekasam ikan temenung, pekasam ikan gelama, belacan, rempeyek, bahulu, kuih bangkit dan produk tempurung.
Raja Kahalid seterusnya turut memaklumkan bahawa Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah prihatin terhadap perkembangan dan kemajuan untuk rakyat jelata terutamanya pembangunan masyarakat bermaklumat dalam kalangan nelayan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE










