Pulau Pinang, Pahang mara akhir Nictsed 2018 - Utusan Malaysia

Pulau Pinang, Pahang mara akhir Nictsed 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 26 Julai – Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Pahang mara ke pertandingan akhir Wacana Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kebangsaan (Nictsed) pada September ini.

Keputusan itu diumumkan selepas pertandingan bagi pusingan separuh akhir berlangsung hari ini apabila SMJK Jit Sin berjaya menumpaskan SMK T. ST. David (Melaka) manakala, SMK Abdul Rahman Talib menewaskan SMKA Sheikh Abdul Malek (Terengganu).

SMJK Jit Sin diwakili oleh tiga pelajar tingkatan lima iaitu Tan Ze Peng, 17; Tan Wah Han, 17; Nithya Shree, 17, dan seorang pelajar tingkatan empat, Goh Chia Ching, 16.

SMK Abdul Rahman Talib dibarisi oleh Nurul Aqilah Abdul Hadi, 16; Lai Tzi Suzanne, 16; Aida Masyitah Azahari, 15, dan Maryam Ahmad Ikram, 13.

Dalam majlis sama, turut diadakan pertandingan Cabaran Keselamatan Siber Nasional (Cakna) 2018 yang menobatkan peserta dari SMK Labuan, Rafieq Rafizie Nur Sha S. Roslee sebagai johan.

Naib Johan disandang oleh Nasaruddin Mohd. Shukri dari Kolej Sultan Abdul Hamid (Kedah) dan tempat ketiga dimenangi oleh Muaz Syakir Ahmad Shaarani, SMK Sentosa (Perak).

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Zaidi Yazid.

Sementara itu, Zaidi berkata, Nictsed merupakan sebuah pertandingan berprestij yang membantu murid sekolah memupuk serta meningkatkan keyakinan diri melalui kaedah pengucapan awam.

“Pertandingan berbentuk wacana mengenai keselamatan ICT melibatkan sekolah ini merupakan yang pertama kali diadakan di negara ini dan tahun ini merupakan penganjuran kali keenam.

“Selain menggalakkan pemikiran kreatif dan kritikal dalam kalangan murid sekolah menengah di seluruh negara, pertandingan ini juga menguji kepetahan murid bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Cyber Security Malaysia, Dr. Zahri Yunos; Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman dan Ketua Penolong Pengarah BTP negeri, Nasir Mohd. Noor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN