Pulau Pinang cadang minta bantuan Pusat - Utusan Malaysia

Pulau Pinang cadang minta bantuan Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 16 Julai – Kerajaan negeri bercadang untuk mendapatkan bantuan Kerajaan Pusat sekiranya permohonan untuk membina tiga pulau buatan di per­airan negeri ini tidak mendapat kelulusan.

CHOW KON YEOW

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya akan dilakukan sebagai jalan terakhir bagi memastikan Pelan Induk Pengangkutan negeri (PIP) dapat diteruskan.

Kerajaan negeri, katanya, turut mempunyai beberapa pilihan lain termasuk tidak menolak kemungkinan meminta Kerajaan Persekutuan menanggung kos melaksanakan PIP.

“Ketika ini semuanya masih terkawal kerana kerajaan negeri masih belum sampai ke tahap memikirkan model pembiayaan lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan akan melaksanakan rancangan menambak laut untuk membina tiga pulau buatan di selatan pulau sebagai kaedah mendapatkan dana untuk melaksanakan PIP yang mengandungi projek tiga lebuh raya, terowong dasar laut dan sistem transit aliran ringan (LRT) untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Berhubung projek lebuh raya Pan Island Link (PIL) pula, beliau berkata, kerajaan negeri me­ngadakan pameran laporan Penilaian Alam Sekitar (EAI) selama sebulan sehingga 10 Ogos ini.

Katanya, pameran berkenaan penting kerana projek tersebut disifatkan mencabar berikutan pembinaan terowong sepanjang 10.5 kilometer yang merentasi beberapa kawasan lereng bukit termasuk Sungai Ara, Paya Terubong dan Bukit Bendera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN