KUALA LUMPUR 16 Julai – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan menafikan perlantikannya ke jawatan tersebut melanggar manifesto Pakatan Harapan.
Tegas beliau, ini kerana PTPTN merupakan badan berkanun sedangkan dalam manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU-14) lantikan politik hanya tidak dibenarkan untuk syarikat milik kerajaan (GLC).
“Memang lantikan politik bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan tetapi hanya untuk jawatan dalam GLC dan bukannya badan berkanun.
“Isu ini sengaja ditimbulkan, saya menjemput mana-mana pihak yang mengkritik lantikan ini untuk membaca semula manifesto tersebut,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.
Dalam perkembangan lain, Wan Saiful memberitahu semua peminjam PTPTN diberi tempoh selama sembilan hari bermula hari ini untuk mengemas kini data peribadi bagi melancarkan proses penangguhan bayaran balik pinjaman. – UTUSAN ONLINE










