PTI menang pilihan raya - Utusan Malaysia

PTI menang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD 27 Julai – Parti pemerintah Pakis­tan mengaku kalah kepada bekas bintang kriket antarabangsa, Imran Khan, yang mengetuai parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) menjelang keputusan akhir pilihan raya negara yang dipenuhi de­ngan pelbagai insiden termasuk dakwaan manipulasi dalam pro­ses pe­ngiraan undi.

Imran yang mengisytiharkan kemenangan parti pimpinannya, PTI semalam menawarkan untuk menyiasat dakwaan ‘pembangkang’ mengenai penipuan undi selain menegaskan mahu menya­tukan Pakistan di bawah pentadbirannya.

Parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, pada mula­nya menolak keputusan awal pi­li­-
han raya tersebut, namun kemudiannya membuat keputusan me­nerima bahawa Imran akan menjadi Perdana Menteri baharu Pakistan.

“Kami akan duduk di bangku pembangkang,” kata Hamza Sheh­baz Sharif, seorang ahli Parlimen dan sepupu kepada Nawaz Sharif.

Walaupun Imran disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri baharu Pakistan, PTI memena­ngi pilihan raya tanpa memperolehi undian majoriti.

Keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan itu menyaksikan PTI perlu bergabung dengan beberapa parti lain bagi membentuk kerajaan baharu.

PTI mendahului dengan kiraan undi setakat ini de­ngan memenangi seba­nyak 115 kerusi; Parti Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) 62 kerusi dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) memenangi 43 kerusi.

Imran, 65, menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung semalam optimis menyatakan rakyat sudah memilih PTI untuk mentadbir Pakistan.

“PTI sudah berjaya dan rakyat beri mandat kepada kami untuk mentadbir Pakistan,” katanya.

Dalam pada itu, kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan keputusan rasmi selepas dua hari proses pengundian berlangsung dikecam pelbagai pihak yang menyifatkan perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Suruhanjaya tersebut juga tegas menolak dakwaan berlaku manipulasi dalam proses pe­ngiraan undi dan menjelaskan masalah teknikal pada sistem menyebabkan keputusan rasmi tidak dapat diumumkan segera.

Kemenangan PTI sekali gus me­ranapkan impian PML-N dan PPP untuk terus mentadbir kerajaan.

Kelewatan pengumuman keputusan rasmi turut memaksa pihak berkuasa mengadakan ba­nyak sidang akhbar bagi menjelaskan keadaan sebenar proses kiraan undi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Babar Yaqoob berkata, proses pengundian dan kiraan undi berjalan lancar dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. – afp/reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN