KUALA LUMPUR 25 Julai – Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) memberi jaminan akan menyediakan tahap keselamatan maksimum kepada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara sepanjang Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria sambil berkata kawalan ketat bukan sahaja untuk skuad B-23 negara tetapi juga buat semua pasukan yang bertanding dalam temasya berkenaan.
“Banyak sejarah (insiden berkaitan penyokong) berkenaan (pasukan bola sepak) Indonesia dan Malaysia, sudah pasti kami akan melindungi pemain 100 peratus.
“Dalam Piala AFF 2010, kami menyediakan kawalan ketat yang membabitkan polis dan tentera, jadi kami akan melakukan perkara sama ketika Sukan Asia nanti.
“Kami akan melihat dari pelbagai sudut untuk memastikan kawalan keselamatan terbaik dapat diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di sini hari ini.
Kebimbangan mengenai kelakuan ganas penyokong Indonesia tercetus selepas skuad bawah 19 (B-19) tahun negara dibaling ketika mahu memasuki bilik persalinan selepas perlawanan separuh akhir kejohanan AFF B-19 di Surabaya pada 12 Julai lalu.
Bagaimanapun, Ratu Tisha mengakui sukar untuk pihaknya mengawal emosi penyokong yang sudah lama mahukan kejayaan dalam arena bola sepak negara itu.
“Ini bukan saja mengenai (perlawanan) Indonesia dan Malaysia saja, Indonesia berdepan konflik yang lama dalam bola sepak termasuk penggantungan oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
“Walaupun hanya perlawanan pemain muda, mereka (penyokong) sangat dahagakan kemenangan, dan bukan sahaja apabila berdepan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










